Percayalah, Susah Payah Kita Dihargai Tuhan
Sebagai manusia, sudah menjadi lumrah kita memang sukakan pujian daripada orang lain. Kita mahukan validasi. Kita suka kalau segala kerja dan susah payah kita dihargai orang lain. Selalunya pujian daripada orang lain, terutamanya orang yang kita sangat hormati akan membuatkan kita makin semangat untuk buat yang terbaik.
Namun, bukan semua perkara akan dilihat oleh orang lain. Kadangkala, kita letih buat semua perkara. Kita banyak berkorban untuk melakukan sesuatu tugasan. Banyak wang dan tenaga yang kita telah gunakan. Tetapi pada akhirnya, usaha kita tidak dihargai. Malah kita juga turut diperlekehkan atas usaha yang kita lakukan.
Dalam keadaan begini, sudah semestinya kita akan rasa kecewa. Kita rasa seolah usaha kita selama ini sia-sia, dek kerana tidak dihargai oleh orang lain. Bagaimana kita mahu menghadapi keadaan ini?
Ayuh sama-sama kita Tadabbur beberapa ayat daripada Surah an-Najm. Firman Allah SWT:
وَأَن لَّيْسَ لِلْإِنسَـٰنِ إِلَّا مَا سَعَىٰ
Maksudnya:
Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya;
(Surah an-Najm, 53:39)
Menurut Ibnu Asyur, perkataan سَعَىٰ dengan lebih terperincinya bermaksud semua perbuatan yang dilakukan dengan usaha yang bersungguh-sungguh. Hal ini bermaksud bahawa jika kita usaha bersungguh-sungguh, maka kita akan dapat hasil seperti yang kita usahakan. As-Syukani membuat komentar berkenaan ayat ini bahawa kalau seseorang itu hanya melakukan secara individu maka, sepatutnya dia akan mendapat hasil tersebut secara individu.
Jika kita fahami betul-betul, tindakan dan usaha kita adalah berdasarkan usaha kita sama ada secara individu ataupun berkumpulan. Jika kita bekerjasama secara kumpulan, maka hasil sebenar kita akan rasai secara bersama. Namun, jika kita bersusah paya dan lakukan secara sendirian, walaupun perit, maka kita akan dapat manfaat hasil usaha sendirian.
وَأَنَّ سَعْيَهُۥ سَوْفَ يُرَىٰ
Maksudnya:
Dan bahawa sesungguhnya usahanya itu akan diperlihatkan (kepadanya, pada hari kiamat kelak);
(Surah an-Najm, 53:40)
Menurut al-Wahidi, ayat ini memberi gambaran kepada kita bahwa setiap usaha kita akan diperlihatkan. Hal ini bermaksud bukan sahaja hasil, tetapi juga tingkah laku dan perbuatan kita dalam proses mencapai natijah juga akan diperlihatkan. Dengan erti kata lain, di dunia ini, bila orang lain tak nampak 'struggle' kita, Tuhan nampak dan hargai apa yang kita lakukan.
Manusia mungkin akan nampak di akhirat sahaja, tetapi Allah SWT sejak di dunia lagi sudah nampak semua usaha kita. Apabila kita rasa macam usaha kita tidak dihargai orang lain, langsuang tidak diberikan perhatian, percayalah bahawa Tuhan menghargainya. Apabila kita rasa usaha kita tidak berbaloi, percyalah bahawa setiap perbuatan walaupun kecil, ada nilai di sisi-Nya.
Kesimpulan:
Sebagai Muslim yang beriman dengan Allah SWT, jangan pernah rasakan bahawa setiap usaha kita sia-sia. Setiap perkara walaupun sekecil zarah, akan dinilai. Jika baik proses kita menuju natijah baik, maka baiklah semuanya. Namun, jika buruk proses kita menuju natijah, maka buruklah semuanya:
فَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًۭا يَرَهُۥ . مَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍۢ شَرًّۭا يَرَهُۥ
Maksudnya:
Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!
Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!
(Surah al-Zalzalah, 99: 7-8)
Oleh itu, percayalah bahawa segala usaha kita akan dinilai oleh Allah SWT. Jika manusia tidak nampak semua susah payah kita, percayalah bahawa Allah SWT melihat segalanya. Percayalah semuanya dihargai oleh-Nya….