Kita Tak Boleh Ubah Orang Lain
Setiap dalam kalangan kita mesti sayangkan ahli keluarga. Kita juga semestinya sayang kepada rakan-rakan dan kenalan yang lain.
Oleh sebab itu, kita akan cuba yang terbaik untuk memastikan mereka sentiasa berada di atas jalan kebenaran. Kita sangat gembira kalau mereka juga boleh menerima nasihat-nasihat kita yang membawa mereka dekat dengan agama.
Namun, secara realitinya ia bukan semudah itu. Cabaran terbesar bagi kita sebenarnya ialah untuk mengubah orang yang rapat dengan kita.
Disebabkan ini, kita akan rasa sangat terkesan jika mereka menolak nasihat kita. Bahkan mungkin akan sampai kepada satu peringkat, mereka mula memperlekehkan kita.
Dalam keadaan ini, apa yang perlu kita lakukan? Adakah ada ayat al-Quran yang boleh membantu kita menghadapi situasi sukar ini?
Firman Allah SWT:
فَذَكِّرْ إِنَّمَآ أَنتَ مُذَكِّرٌ - لَّسْتَ عَلَيْهِم بِمُسَيْطِرٍ
Maksudnya:
Oleh itu berikanlah sahaja peringatan (wahai Muhammad, kepada manusia, dan janganlah berdukacita kiranya ada yang menolaknya), kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan; Bukanlah engkau seorang yang berkuasa memaksa mereka (menerima ajaran Islam yang engkau sampaikan itu).
(Surah al-Ghasyiyah, 88: 21 - 22)
Melalui ayat ini, kita boleh lihat bahawa Rasulullah SAW juga pernah menghadapi situasi yang hampir sama. Baginda ada rasa sedikit kegusaran kerana ramai yang telah menolak dakwah baginda ketika itu.
Dalam kalangan yang menolak baginda merupakan keluarga dan kenalan rapat ketika itu. Akibatnya, baginda rasa sangat kecewa. Namun ayat ini memberikan satu mesej yang penting. Bahawa bukan semua benda kita boleh kawal.
Terutamanya dalam mengubah manusia. Perkataan yang sesuai untuk gambarkan tugasan kita yang sebenar ialah مُذَكِّرٌ (pemberi ingatan). Kita hanya mampu memberikan nasihat dan teguran, namun kita tak boleh mengubah mereka.
Ayat لَّسْتَ عَلَيْهِم بِمُسَيْطِرٍ menggambarkan tentang keadaan kita yang sebenar. Menurut al-Alusi, yang dimaksudkan dengan ayat ini ialah tidak kita tak boleh memaksa mahupun mengharapkan orang terus berubah atas kehendak kita.
Kerana pada akhirnya, yang boleh memberi hidayah kepada mereka hanyalah Allah SWT. Ini diterangkan kepada Nabi juga dalam al-Quran tentang situasi baginda dengan bapa saudara, Abu Talib:
إِنَّكَ لَا تَهْدِى مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَـٰكِنَّ ٱللَّهَ يَهْدِى مَن يَشَآءُ ۚ وَهُوَ أَعْلَمُ بِٱلْمُهْتَدِينَ
Maksudnya:
Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam).
( Surah al-Qasas, 28:55)
Maka kesimpulan penting di sini ialah jangan pernah rasa kecewa apabila kita tak dapat ubah orang lain. Rasulullah SAW, insan yang mulia juga tidak dapat mengubah bapa saudaranya sendiri, apatah lagi kita.
Benar, kita boleh sentiasa memberi peringatan. Tetapi untuk ubah mereka pada akhirnya adalah atas diri mereka sendiri. Benar, bahawa Allah boleh beri hidayah kepada mereka, bahkan hidayah merupakan aspek penting untuk seseorang itu berubah.
Namun, jika mereka sendiri tidak mahu berubah, maka ia tidak akan beri kesan kepada mereka walaupun kita sudah cuba dengan pelbagai kaedah dan cara.
Teruskan usaha untuk menasihati orang terdekat. Namun, jika mereka menolak jangan pernah rasa kecewa. Teruskan berdoa agar Allah memberikan mereka hidayah. Dan berdoa juga agar mereka diberikan kelembutan hati dan kerelaan hati untuk mengubah diri mereka sendiri
Wallahu A’lam…