~ Solat, zakat dan rukuk.
Surah al-Baqarah, ayat 40-48 membawa kisah tentang perintah terhadap Bani Israil. Apa pula kaitan perintah ini dengan kita?
—————
Kita mungkin pernah mendengar Surah al-Baqarah, ayat 45 yang menyebut sabar dan solat. Secara ringkasnya, tips untuk terus istiqamah dalam beribadah ialah sabar. Hari ini mungkin solat kita belum sempurna, tapi bersabarlah dan berusaha untuk memperbaikinya. Setiap kesusahan, Allah tidak melihat ia sebagai kegagalan tetapi usaha untuk menjadi hamba-Nya yang lebih baik. Subhanallah..
Cuba kita reverse sedikit ayat, naik pada ayat 43.
Surah al-Baqarah 2:43:
وَأَقِيمُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتُوا۟ ٱلزَّكَوٰةَ وَٱرْكَعُوا۟ مَعَ ٱلرَّٰكِعِينَ
Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.
Okay, perhatikan susunan perintah di dalam ayat ini.
Solat -> zakat -> rukuk bersama-sama orang yang rukuk.
Kita boleh faham, rukuk adalah salah satu tatacara solat.
Kenapa solat, zakat, kemudian solat sekali lagi?
Kalimah مَعَ (bersama-sama) di sini sangat mahal. ‘Rukuk bersama-sama (مَعَ) dengan orang yang rukuk’ bermaksud ‘solat berjemaah’.
Kalimah ٱلصَّلَوٰةَ - merujuk kepada perintah solat untuk kita.
Selepas itu kalimah ٱلزَّكَوٰةَ - merujuk kepada pengorbanan harta dan hak manusia.
Kemudian وَٱرْكَعُوا۟ مَعَ ٱلرَّٰكِعِينَ - merujuk kepada solat berjemaah dengan orang yang beriman.
Di sini kita boleh nampak satu susunan yang indah.
Solat - hubungan dengan Allah.
Zakat - hubungan sesama manusia.
Solat berjemaah - tidak terhenti hubungan sesama manusia, bahkan mengajak untuk menjadi orang beriman juga.
Sekarang, kenapa rukuk? Kenapa tidak menggunakan kalimah sujud? Bukankah sujud juga lambang pengabdian dan ketundukan?
Saya sangat menyukai beberapa pendapat mufassir.
1. Rukuk di sini bukan secara literal gerakan fizikal tetapi retorik bersama-sama dengan orang beriman yang tunduk kepada Allah dan Rasul-Nya.
2. Menurut Al-Baghawī, rukuk tidak ada dalam cara solat orang Yahudi. Oleh itu, rukuk ini special melambangkan kualiti ketaatan orang-orang beriman yang diperakui Allah SWT.
Dalam konteks isu Bani Israil; rukuk juga membawa mesej yang mendalam.
1. Seseorang ada pengetahuan tetapi tidak ingin tunduk pada kebenaran itu.
2. Menggunakan pengetahuan untuk disebarkan, tetapi diri sendiri tidak mengamalkan.
Ini bukanlah semata-mata ayat yang membongkar sifat Bani Israil, tetapi teguran keras kepada kita semua..
Ujian kita sebagai manusia;
ketika Allah memerintahkan kita untuk solat, kita memilih lalai.
Allah memerintahkan kita untuk menunaikan zakat, kita memilih untuk kedekut.
Allah memerintahkan kita untuk tunduk pada kebenaran tetapi kita memilih untuk buta.
Malah, kita menyarankan orang lain untuk beramal, malangnya kita pula memilih untuk tidak mengamalkannya.
Maka, tidak hairanlah Surah al-Fatihah adalah surah yang paling banyak kita baca dalam sehari iaitu minimum sebanyak 17 kali. Di dalamnya juga mempunyai 1 golongan yang mirip dengan Bani Israil iaitu ‘al-maghdub’. Surah al-Baqarah pula membawa peringatan agar kita tidak mengikut jejak mereka yang dimurkai.
Solat dan zakat tidak sekadar berhenti di satu takuk. Ayat ini juga menekankan perjalanan dakwah yang tidak boleh terputus. Dan carilah circle yang boleh membawa kita untuk istiqamah serta sabar dalam beribadah.
Wallahu’alam.