[Bantuan Allah Datang Tanpa Disangka]
Syaitan sentiasa berusaha untuk menghancurkan manusia. Antara cara Syaitan akan gunakan ialah dengan menghasut manusia agar dengki dan membenci antara satu sama lain. Akibatnya, manusia yang termakan dengan hasutan syaitan ini akan melakukan rencana secara sembunyi untuk menghancurkan orang lain.
Bagaimana kalau kita tak tahu apa yang sedang dirancang oleh orang lain? Situasi ini akan menyebabkan kita rasa tak tenteram. 'Anxiety level' kita pun akan jadi semakin tinggi. Dalam keadaan ini, apa yang kita boleh lakukan?
Mari kita ambil iktibar daripada kisah Ashabul Fil:
أَلَمْ يَجْعَلْ كَيْدَهُمْ فِى تَضْلِيلٍ
Maksudnya:
Bukankah Tuhanmu telah menjadikan rancangan jahat mereka dalam keadaan yang rugi dan memusnahkan mereka?
(Surah al-Fil, 105:2)
Perkataan كَيْدَ bermaksud satu perancangan yang jahat. Menurut as-Syaukani, Abrahah mahu memastikan bukan sahaja Kaabah dapat dihancurkan, tetapi juga mahu menghancurkan orang Quraisy. Begitu juga perancangan ini tidak diketahui dan dilakukan secara sembunyi-sembunyi.
Dalam keadaan manusia lain tidak tahu, sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui akan semua perkara. Bantuan Allah datang dalam keadaan tidak terduga. Maka, kita perlu percaya bahawa Allah AWT mampu dan akan menolong para hamba-Nya.
Sebab itu juga, untuk hilangkan rasa resah gelisah dalam kehidupan, percaya juga bahawa sentiasa ada Allah untuk melindungi. Dalam keadaan kita tidak tahu apa yang orang lain cuba merencanakan untuk kita, berdoalah kepada Allah SWT agar kita dihindari daripada dengki manusia lain yang menghancurkan.
Antara doa yang penting untuk diamalkan ialah:
إِذۡ أَوَى ٱلۡفِتۡيَةُ إِلَى ٱلۡكَهۡفِ فَقَالُواْ رَبَّنَآ ءَاتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحۡمَةٗ وَهَيِّئۡ لَنَا مِنۡ أَمۡرِنَا رَشَدٗا
Maksudnya:
(Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: 'Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan ugama kami'.
(Surah al-Kahfi, 18:10)
Pemuda al-Kahfi, meminta dua perkara penting yang akan meliputi semua bantuan daripada Allah SWT:
1) Kalimah رَحۡمَةٗ
2) Kalimah رَشَدٗا
Kalimah رَحۡمَةٗ ialah apabila kita meminta untuk Allah SWT mengasihani kita. Kita akui bahawa kita makhluk yang sangat lemah dan tak mampu mengetahui hal-hal yang tersembunyi.
Manakala, kalimah رَشَدٗا pula adalah bertujuan supaya kita meminta Allah SWT bantu persediaan kita dalam apa jua keadaan yang mendatang. Perkara ini melibatkan emosi, perasaan, dan 'expectation' kita.
Hal ini menunjukkan doa yang pemuda al-Kahfi lafazkan ini ialah doa yang meminta pertolongan dalam keadaan kita tak mampu untuk berbuat apa-apa. Lemah dari sudut emosi dan fizikal.
Maka, kita perlu sentiasa optimis… bahawa ketika kita tak mampu mengawal keadaan. Ketika kita dalam keadaan sangat memerlukan bantuan, percayalah bahawa bantuan Allah akan datang tanpa kita sangka.
Wallahu A'lam…..